Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-61 Malaysia

“Merdeka, merdeka, merdeka” begitulah slogan laungan di Dataran Stadium Merdeka pada tahun 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman apabila beliau mengumumkan negara kita telah bebas daripada penjajahan kerajaan British. Masa berlalu dengan cepat, Negara Malaysia telah bebas daripada penjajahan asing selama 61 tahun. Pada 31 Ogos 2018 ini juga  merupakan hari kemerdekaan ke-61 kepada Malaysia dan tahun pertama kepada kerajaan baru kita menyambut hari kemerdekaan bertema “Sayangi Malaysiaku” Di sini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-61 kepada semua rakyat Malaysia dan harap dengan pembentukan kerajaan baru, semoga Malaysia kian maju ke hadapan dan berjaya merealisasikan Wawasan 2020.Sejurus dengan itu, melalui Hari Kemerdekaan ke-61 bermakna ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk memberi cadangan saya terhadap perkembangan Malaysia pada masa kini dan depan. 



Pihak kerajaan
Pihak Kerajaan Malaysia seharusnya mengutamakan pendidikan, ekonomi, dan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat. Dalam pendidikan, pihak kerajaan Malaysia sepatutnya sentiasa memastikan silibus dalam setiap mata pelajaran akan dikemaskinikan berdasarkan perkembangan dalam dan luar Negara. Hal ini demikian kerana ini boleh membuka minda pelajar atau mahasiswa terhadap dunia luar dan masalah ketinggalan zaman juga dapat dielakkan dengan alasan bahawa mereka cuma mendapat pendidikan yang sama berbanding dengan 10 tahun yang lalu. Sebagai contohnya, buku teks sejarah seharusnya dikemaskinikan setiap 10 tahun supaya pelajar-pelajar dapat menerima latar belakang sejarah Malaysia sehingga kini. Di peringkat universiti, silibus yang disediakan oleh pihak berkaitan juga perlu dikemaskinikan dan dapat memberi ilmu yang bernas kepada mahasiswa yang mengambil kursus tersebut. Contohnya, mahasiswa yang mengambil ijazah perniagaan antarabangsa perlu memahami isu semasa perniagaan antarabangsa melalui kursus yang baru dan bukan mengaturkan mereka mengutamakan kursus-kursus pembelajaran bahasa asing. Yang penting adalah, pihak yang berkaitan perlu memberi kursus-kursus yang dapat menolong mereka meningkatkan profesion mereka dalam bidang yang mereka minat. 


Dari segi ekonomi, pihak kerajaan Malaysia perlu mengambil pertimbangan terhadap meringankan kos hidup rakyat Malaysia. Terutamanya kepada mahasiswa-mahasiswa yang baru menamatkan pengajian, kebanyakan daripada mereka mengalami masalah kewangan seperti menjelaskan hutang PTPTN, mengekalkan perbelanjaan harian, membeli kereta dan kemampuan memiliki rumah baru untuk keluarga. Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu mengawal harga barang-barang harian meningkat dan menyokong pelaksanaan program harga rendah memiliki rumah baru dalam kemampuan mahasiswa.  Yang penting adalah, setiap peluang yang dapat meningkatkan ekonomi negara perlu dikuasai oleh pihak kerajaan seperti aktiviti eksport, pelaburan asing, francais dan lain-lain. Manakala bagi peluang pekerjaan, pihak kerajaan perlu sentiasa mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dengan mengalakkan memulakan perniagaan sendiri, mengutamakan permohonan pekerjaan daripada rakyat tempatan, dan membaikpulihkan infrastruktur seperti pengangkutan di bandar atau di luar bandar. Hal ini demikian kerana jika keadaan infrastruktur dekat  tempat itu adalah baik, ini akan menarik banyak pelabur asing datang ke negara dan ini akan meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat.



Rakyat
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu padu untuk menbangunkan negara kita ke arah negara maju dan makmur. Ini bermaksud bahawa walaupun kita semua berasal daripada berlainan kaum, agama, dan budaya tetapi kita seharusnya menyokong dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa diskriminasi kaum.  Sehubungan dengan itu, sokongan rakyat terhadap kerajaan juga memainkan peranan penting terhadap perbangunan negara. Rakyat Malaysia sepatutnya memberi sokongan dan pendapat terhadap pihak kerajaan tentang pelaksanaan sesuatu projek yang boleh membangunkan negara seperti Koridor Raya Multimedia (MSC), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan kerjasama antara Geely dan Proton dalam industry otomotif. Hal ini demikian kerana tanpa sokongan daripada rakyat, semua rancangan yang diumumkan oleh pihak kerajaan sukar dijalankan oleh sebab sikap acuh tak acuh daripada rakyat Malaysia.

Selain itu, kita juga harus berfikiran rasional terhadap perkembangan negara. Walaupun kerajaan baru telah dibentukkkan selepas kemenangan pengundian ke-14, tetapi sebagai rakyat kita perlu menpunyai pemikiran dua aspek antara pendapat kerajaan baru dan pembangkang supaya kita dapat lihat cara-cara yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah negara. Sebagai contoh, SST (Sales Service Tax) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada bulan September ini, kita perlu berfikir secara rasional terhadap pelaksanaan tersebut berbanding dengan GST (Government Services Tax) tanpa berat sebelah bahawa kerajaan baru melaksanakan system percukaian baru terhadap rakyat Malaysia. Secara ringkasnya, berfikiran rasional daripada kita memainkan peranan penting dalam setiap system dilaksanakan oleh kerajaan kerana hal ini akan membawa kesan-kesan positif atau negatif terhadap negara Malaysia.


Di samping itu, kita juga harus memberi pertimbangan kepada generasi yang akan datang. Walaupun setiap program yang dijalankan oleh pihak kerajaan adalah untuk mengutamakan manfaat rakyat Malaysia, tetapi kita masih perlu memberi fokus bahawa kesan kesan program tersebut terhadap generasi yang akan datang. Hal ini demikian kerana isu hutang negara boleh dikatakan serius dalam negara kita disebabkan oleh rasuah, masalah pelan kewangan, dan lain-lain. Oleh itu, perancangan baru yang dilaksanakan oleh kerajaan baru terhadap rakyat Malaysia, manfaat yang akan datang bukan cuma kepada kita sahaja, tetapi juga kepada generasi yang akan datang seperti pegangan bebas tanah, rancangan baru terhadap pengangkutan, pendidikan percuma dalam pembelajaran teknikal dan lain-lain. Semua ini akan membawa kebaikan kepada kita dan generasi yang akan datang.

Kesimpulannya, bak kata pepatah “Perpaduan asas kejayaan,” pihak kerajaan dan rakyat seharusnya bersatu padu membangunkan negara ke arah pentas dunia dengan membentuk Malaysia yang maju, aman, dan harmoni. Pembentukan negara yang maju dan aman perlu dimulakan daripada pemimpin ke setiap lapisan masyarakat barulah akan membawa kebaikan dan manfaat kepada generasi yang akan datang dari segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi. Akhir sekali, saya berharap Malaysia akan maju ke hadapan dan sama taraf dengan negara yang maju pada masa yang akan datang. 

No comments:

Post a Comment

Caffeinees Puchong